Semua mazhab reformis bersetuju bahawa kerana rempuhan kesejagatan dan perubahan lapangan pengetahuan yang pantas, kita kini dicengkam dengan pertanyaan yang berkait dengan kelangsungan preskripsi Islam dalam era baru ini.
Terdapat semakin ramai dikalangan Muslim yang mula mendakwa bahawa keupayaan tertinggi adalah akal manusia, yang kita harus gunakan bagi membolehkan kita menjadi khalifah Tuhan yang sebenar di bumi. Hal ini adalah teras daripada Pencerahan dan Renaisans di mana hanya melalui akal kita dapat memahami matlamat tertinggi atau maqāsid agama kita.
Islah (Reformasi) dan tajdid (Pembaharuan) menuntut tidak hanya sumbangan ulama’ yang setara dalam kedua-dua teks dan konteks tetapi juga keterlibatan yang kritis dan imaginasi yang kreatif daripada kelompok massa Muslim khususnya kaum intelektuil. Ia adalah suatu seruan untuk menimbangkan semula sumber melalui rekonsiliasi mereka yang wajar dengan dunia, evolusinya dan pengetahuan manusia supaya dhamir Muslim kontemporer akan ulet dengan zaman moden dan cabarannya.
Buku ini, yang memuatkan antologi esei ditulis oleh kalangan yang menganut semangat reformasi Islam dan pemikiran kritikal. Ia menuntut kita untuk menggunakan daya nalar kita secara maksima untuk mendepani cabaran yang makin mencabar dalam dunia moden.
Buku ini boleh didapati secara terus dengan menghubungi Facebook IRF atau email ke
[email protected].
Akmal A. –
Sejak akhir-akhir ini suasana politik di Malaysia semakin tunggang langgang baik di sayap kanan mahupun sayap kiri. Bagi sayap kiri, PAS memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) mereka dengan parti DAP dalam Pakatan Rakyat yang kemudiannya mempengaruhi kepada pembentukan parti baru, Gerakan Harapan Baru (GHB). Sebenarnya apa yang dimahukan oleh mereka terutamanya golongan islamis yang dahulunya memperjuangkan slogan negara berkebajikan dan akhirnya sekarang ini sibuk mempromosikan perjuangan yang bersifat berkepentingan? Mana perginya semangat untuk kerjasama dan sifat kesederhanaan tersebut?
Buku ini merupakan referens penting yang perlu dibaca terutamanya golongan islamis dalam memahami akar perjuangan dalam konteks demokrasi. Koleksi makalah dalam Wacana Pemikiran Reformis Jilid II ini lebih kepada untuk mengimbau kembali makna perjuangan dan kekuatan akal dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai manusia untuk mencapai keharmonian sejagat. Jilid ini banyak membincangkan tentang peranan golongan ulama’ dahulu khususnya sekitar Malaysia & Indonesia dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memajukan rakyat terutamanya dari segi pemikiran
Muhammad Fakhruddin –
Membaca tulisan-tulisan IRF bukan asing bagi saya, bahkan beberapa orang kenalan saya turut menyumbang makalah mereka untuk buku ini. Namun nikmat membaca tulisan bercetak tidak dapat menandingi bacaan pada skrin komputer. Pembacaan yang lebih perlahan membolehkan kita menghadam idea, mengenal corak fikir dan membuat kesimpulan sendiri.
Tajdid dan demokrasi, dua tema yang bergema dalam semua tulisan buku ini. Ada beberapa ketikanya saya jadi skeptik terhadap kesimpulan yang dibuat beberapa penulis, khususnya apabila berbicara mengenai pemikiran beberapa tokoh tertentu. Satu perkara yang kita perlu hormat dan pelajari daripada IRF ialah kesungguhan mereka merakam fikrah dalam bentuk tulisan yang bisa ditatap untuk seribu tahun lagi, memetik kata guru bahasa Melayu saya.
Tulisan para penyumbang membuktikan kualiti keilmuan mereka dalam topik-topik seputar falsafah dan politik. Mereka menulis bukan semata-mata menurut isu, tetapi untuk mencetuskan wacana dalam gelanggang politik tanah air. Tidak perlu untuk kita setujui semua yang tertulis tetapi perlu kita zahirkan dengan sikap kritis dan beradab.