Syed Shaykh bin Ahmad Hasan al-Hady dilahirkan pada 25 Disember 1864 di Hulu Melaka. Beliau berdarah Arab-Melayu yang berasal dari Hadhramawt, Yaman. Falsafah pemikirannya dipengaruhi secara langsung dari pengaruh al-Manar dan gagasan Pan-Islamisme yang dicetuskan oleh al-Afghani dan Abduh di Mesir. Ia memperjuangkan aspirasi pembaharuan yang diilhamkan oleh Ibn Taimiyah dan muridnya Ibn Qayyim al-Jawziyah pada kurun ke 7H. Falsafah pemikirannya yang progresif dan faham pembaharuannya yang radikal ini dizahirkan dalam jurnal bulanan Al-Ikhwan, sebagai “suara yang terbit daripada seorang ikhwan yang berteriak akan sekalian ikhwannya” yang telah mencetuskan pengaruh dan dampak yang jelas dalam membawa perubahan yang desisif.
Perjuangan dan pergerakan Islam moden yang diasaskan oleh Syaikh Muhammad Abduh di Mesir telah memberi impak yang besar kepada fikrah al-Hady. Kekuatan pengaruh ini dimungkinkan daripada kesan pertemuannya dengan Abduh pada tahun 1895 di Mesir, bermula dari pelayarannya ke Timur Tengah mengiringi keluarga diraja Riau pada akhir abad ke 19, yang mendedahkannya dengan perkembangan dunia Islam dan perjuangan kaum modernis di sana. Beliau mempertahankan mazhab salafiyah yang diperjuangkan oleh Abduh dan melanjutkan usahanya dalam mencanangkan fikrah pembaharuan dan tajdid, mendobrak benteng taqlid, merangkul tradisi moden dan menganjurkan ijtihad. Lantaran demi menegakkan perjuangan inilah beliau telah dilabel sebagai Kaum Muda, Muktazilah dan Kaum al-Manar.
Perjuangan “Kaum Muda” yang dipelopori Al-Hady ini menggagas cita-cita Islam yang dinamik dan progresif. Faham perubahan yang progresif dan idealisme salaf yang diperjuangkannya bertujuan untuk memperbaiki dan memurnikan Islam daripada unsur-unsur khurafat, bid‘ah dan jumud dan mengangkat harakat pemikiran dan memperjuangkan cita-cita pembaharuan atau tajdid. Buku ini merupakan kompilasi tulisan yang menceritakan riwayat hidup dan perjuangan Syed Shaykh al-Hady dalam membawa mesej perubahan dan tajdid yang berusaha menggilap idealisme dan memperbaharui agama serta memperkukuh kedudukan dan peranan umat dalam peradaban dunia.
Reviews
There are no reviews yet.